• Bestari Jaya, Selangor
  • +603 5522 3552 / 3422
  • afiqazri@unisel.edu.my

MENGAPA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK SANGAT PENTING?

Kanak-kanak merupakan pelapis generasi negara kita. Bak kata pepatah, kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan agar menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Namun begitu, siapakah yang bertanggungjawab mencorakkan kanak-kanak ini mengikut acuan yang betul selain ibu bapa mereka sendiri? Sudah menjadi lumrah dunia, tempoh usia seawal lapan tahun merupakan tempoh yang amat genting dan paling mencabar bagi perkembangan mental kanak-kanak. Selain be berfikir dan berkomunikasi, perkembangan dari segi sosial dan emoga mereka turut bergerak dengan laju sewaktu lingkungan umir tersebut. Oleh yang demikian, pendidikan awal kanak-kanak dianggap sebagai satu pelaburan yang cukup penting pada masa kini. Peka terhadap aspek tersebut, Universiti Selangor (UNISEL) menawarkan beberapa program pengajian yang meliputi aspek Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Program pengajian tersebut ditawarkan di dua peringkat iaitu Diploma (Diploma Pendidikan Pengajian Pra Sekolah) dan Ijazah Sarjana (Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pendidikan Awal Kanak-Kanak).

Program ini mula ditawarkan seawal tahun 2005 dan ditubuhkan bagi menyediakan pendidikan berkualiti yang berkait rapat dengan perkembangan awal kanak-kanak. Selain memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan pendidikan awal kanak-kanak, program ini juga ditubuhkan dalam usaha melahirkan bakal pendidik yang mampu berinteraksi secara efektif dengan kanak-kanak menggunakan kaedah pengajaran serta pengurusan yang lebih interaktif dan menarik. Bagi Muhammad Hilmi Bin Abdul Rashid, Ketua Jabatan Pengajian Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial UNISEL, program pengajian pendidikan awal kanak-kanak ini disifatkan sebagai satu platform yang amat baik buat mereka yang ingin menceburi bidang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi. Ini kerana program ini merupakan satu bidang yang amat unik tetapi amat penting dalam pembentukan sosial kanak-kanak. “Pendidikan awal kanak-kanak merupakan waktu paling kritikal dalam pembentukan seorang insan. Ini kerana pada waktu kritikal inilah yang akan menjadi pengukur yang akan membentuk seseorang individu itu pada masa akan datang. Kanak-kanak pada hari ini merupakan anak-anak generasi Alpha, generasi yang paling terpelajar dalam sejarah generasi manusia. Oleh yang demikian, cara pendidikan juga berubah seiring dengan zaman mereka,” ujar beliau. Tambah beliau lagi, method pengajaran bagi pendidikan awal kanak-kanak generasi ini perlu dilakukan dengan cara terbaik dan terkini. Selain itu, ia juga harus melibatkan nilai estetika dan keagamaan bagi membentuk generasi yang mampu mengubah negara menjelang Revolusi Industri 4.0.

“Pelajar tidak perlu takut atau ada keraguan untuk memilih bidang ini sebagai kerjaya kerana bidang ini telah bertapak lama malah di UNISEL juga program ini telah melangkaui sebelas tahun penubuhannya. Ditambah lagi dengan pendidikan yang meluas, bidang ini akan sentiasa diperlukan tidak kira waktu dan zaman,” tambah beliau lagi. Puteri Nor Farhana Megat Zulkarnaen, 20, berkata beliau memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang ini kerana beliau cenderung untuk menjadi seorang guru. Beliau yang merupakan pelajar semester akhir program Diploma Pendidikan Pengajian Pra Sekolah juga amat berpuas hati dengan konsep pembelajaran di UNISEL kerana ia senantiasa selari dengan perubahan sosial dan teknologi terkini. “Selain dengan konsep pembelajaran yang amat membantu pelajar, saya juga amat memuji UNISEL kerana menyediakan kemudahan dan fasiliti yang amat lengkap di bilik kuliah. Ini memudahkan kami sebagai pelajar untuk melaksanakan segala tugas dengan baik,” ujar beliau. Selain itu, UNISEL turut menyediakan beberapa kemudahan khusus buat pelajar program pengajian ini antaranya Bilik Simulasi Taska dan Tadika, Bilik Mikro Teaching dan Bilik Kuliah yang terdapat di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Kampus Bestari Jaya.

Bagi Hafiz Asyraf Zuraimy,20, simulasi fokus zon kanak-kanak merupakan tugasan kelas yang paling diminati kerana ianya dapat melatih beliau dan rakan-rakan sekuliah berinteraksi dengan murid-murid secara praktikal. Selain itu, ia turut membantu dalam percambahan idea dan ini dapat merangsang minda murid-murid untuk berfikiran kreatif dan berinovasi. Menurut Shalani A/P Karnan, beliau menyifatkan konsep ‘Micro Teaching’ merupakan tugasan yang paling menarik kerana pelajar dapat melihat dan belajar dari setiap kesalahan yang dilakukan. Bagi beliau, konsep ini dapat membantu pelajar untuk menambahbaik penyampaian dan lebih bersedia bagi menghadapi alam kerjaya kelak. UNISEL menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman dan pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang rata-ratanya mempunyai Sijil Ikhtisas Pendidikan yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tambahan lagi, silibus pengajian di UNISEL adalah yang terkini dan mendapat pengiktirafan Malaysian Qualification Agency (MQA).

Kemudahan dan infrastruktur yang lengkap seperti Bilik Simulasi Taska dan Tadika, Bilik Mikro Teaching dan Bilik Kuliah menjadikan pengajian di UNISEL adalah pilihan yang terbaik. Pihak fakulti juga turut menjalinkan beberapa kerjasama kukuh dengan beberapa badan kerajaan, badan bukan kerajaan antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja (MBBY) bagi memantapkan pengukuhan dalam bidang ini. UNISEL telah berjaya melahirkan ramai alumni yang berjaya bukan sahaja dalam bidang pendidikan seperti guru dan pensyarah tetapi juga berjaya menghasilkan pengusaha tadika, pegawai kerajaan dan sebagainya. Kesimpulannya, bidang pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu bidang yang amat penting untuk diterokai kerana ia amat berkait rapat dengan pembangunan masyarakat. Matlamat kami di UNISEL adalah untuk menghasilkan graduan pendidikan awal kanak-kanak yang mampu untuk mendidik dan membimbing orang ramai berkenaan bidang ini selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

HASRIL ABU HASSAN

Pengarah Komunikasi Korporat

UNISEL

Need More Information?

Our faculty provides an exposure to real working environment via various programmes and the latest news about them will be announced through various communication channels, including Facebook and this website.

Contact Us