29
SEP
2016

Kem Kenali Diri di SMK Seri Kundang – Mahasiswa Psikologi Membina Generasi Baru

Syukur alhamdullilah dengan izin dan limpah dan  kurniaNya Kem Kenali Diri telah Berjaya dilaksanakan pada 24 September 2016 (Sabtu) di SMK Sri Kundang, Rawang, Selangor. Program Kem Kenali Diri yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengahari merupakan sebuah program yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti UNISEL (UNISEL Cakna).  Seramai 70 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 yang memegang jawatan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya di sekolah tersebut merupakan sasaran peserta program ini. Fasilitator yang bertindak sebagai penggerak utama Kem Kenali Diri adalah seramai 22 orang. Tujuan utama Kem Kenali Diri diadakan adalah untuk membantu para pelajar yang juga merupakan Pembimbing Rakan Sebaya di SMK Sri Kundang untuk lebih mengenali diri mereka sendiri dari pelbagai aspek seperti sahsiah, emosi, serta gaya pembelajaran sebagai persiapan untuk membantu rakan-rakan yang lain pada masa akan datang.

Semua fasilitator berkumpul dan bertolak ke SMK Sri Kundang seawal jam 7.30 pagi dengan menaiki bas dan sampai ke destinasi pada jam 8.15 pagi. Kedatangan fasilitator disambut oleh beberapa orang pelajar di hadapan pintu masuk SMK Sri Kundang dan semua fasilitator terus dibawa menuju ke Dewan SMK Seri Kundang, di mana ia merupakan tempat untuk menjalankan segala aktiviti bagi program Kem Kenali Diri. Setibanya di dalam dewan tersebut, sedikit taklimat oleh pengarah program telah diberikan dan semua fasilitator diperkenalkan kepada para peserta. Kemudian, semua peserta dibahagikan kepada 8 buah kumpulan dan setiap kumpulan dibimbing oleh 2 orang fasilitator. Aktiviti pertama adalah ‘Ice Breaking’, di mana semua ahli di dalam kumpulan tersebut dikehendaki menyenaraikan 3 kriteria rakan mereka dan mereka perlu meneka kriteria tersebut ditujukan kepada siapa. Selain itu, untuk menguji kerjasama dan kemahiran berfikir di dalam kumpulan, aktiviti yang dinamakan “Menara Gading” iaitu peserta dikehendaki membina menara menggunakan air mineral dan batang aiskrim.

Setelah selesai aktiviti ‘Ice Breaking’, program diteruskan lagi dengan aktiviti menjawab ujian personaliti, iaitu Inventori Personaliti Warna dan Ujian Gaya Belajar VAK. Semua fasilitator membantu peserta untuk menjawab ujian personaliti tersebut dengan baik agar tidak berlaku kesilapan apabila mengira dan mengenalpasti keputusan ujian personaliti tersebut. Para peserta juga telah diberi penerangan mengenai gaya pembelajaran yang betul dan berkesan oleh para fasilitator setelah mereka menjawab ujian personality tersebut. Slot terakhir program adalah sesi kesimpulan dan motivasi diri yang telah diberikan oleh Puan Angela Chan Nguk Fong, Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Seri Kundang, iaitu Puan Badariah Binti Surib dan pihak UNISEL juga telah memberikan cenderahati kepada pihak sekolah sebagai tanda ingatan. Pihak sekolah juga turut memberikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada pihak UNISEL kerana bekerjasama untuk menjayakan program Kem Kenali Diri di SMK Seri Kundang. Setelah itu, sesi fotografi bersama semua peserta dan fasilitator didadakan dan majlis bersurai pada jam 1.30 petang. Semoga aktiviti yang berunsurkan motivasi seperti ini dapat dijayakan dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada pelajar Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial khususnya menimba pengalaman yang menarik dan bernilai untuk dipraktikkan dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

 

 

 

Leave a Reply

*

captcha *